Kebetulan ada perasmian Kebudayaan Baba dan Nyonya di kampung saya di Bukit Rambai, Melaka semalam (29 Disember 2012) jadi kesempatan yang ada digunakan untuk mengambil beberapa keping gambar yang mana saya rasakan boleh dikongsi kan bersama pembaca lain.
Ramai yang tidak tahu tentang keunikan masyarakat ini. Jadi, saya rasa elok sekiranya saya berkongsi maklumat tentang masyarakat peranakan Melaka ini.
Asal Usul Peranakan Cina: Masyarakat Baba Nyonya dikenali juga sebagai kaum peranakan dan mereka merupakan kaum minoriti yang dipercayai berasal dari Melaka. Baba dan Nyonya di Melaka adalah Cina Peranakan di mana nenek moyang mereka telah datang dan berkahwin dengan wanita tempatan. Kaum ini kebanyakannya berasal dari wilayah Hokkien, China yang berhijrah ke Melaka 600 tahun dulu ketika Melaka terkenal sebagai pusat perdagangan.
Perkahwinan campur seperti ini telah melahirkan budaya Cina yang unik serta tradisi Melayu. Pada mulanya mereka datang ke Melaka untuk berdagang dan mencari pekerjaan dan berkahwin dengan wanita tempatan di mana anak lelaki dipanggil Baba dan anak perempuan disebut Nyonya.
Mewarisi Tradisi: Masyarakat Baba dan Nyonya sedikit sebanyak telah mewarisi budaya masyarakat Melayu khususnya. Oleh itu sehingga kini masih ada lagi masyarakat Baba dan Nyonya yang menjadikan amalan dan pegangan masyarakat Melayu dalam kehidupan seharian mereka.
Banyak pantang larang dan kepercayaan masyarakat Melayu telah diasimilasikan dalam kebudayaan masyarakat Baba dan Nyonya. Keadaan ini telah menunjukkan bahawa masyarakat Baba dan Nyonya mempunyai mirip yang sama dengan masyarakat Melayu.
Bahasa: Masyarakat baba Nyonya di Melaka fasih bertutur bahasa Melayu dan mengikut fakta sejarah golongan ini mempunyai pertalian dengan darah keturunan Melayu di mana mereka fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Selain menggunakan Bahasa Melayu dalam pertuturan seharian mereka juga boleh bertutur bahasa Hokkien.
|
Canon 5D Mark II + Canon EF 50mm f/1.2L USM ~ 1/500sec ~ f/2.5 ~ ISO 100 |
Contoh baju kebaya yang dibawa untuk ditontonkan kepada umum. Seni buatannya sangat halus dan cantik
Pakaian: Kebanyakan mereka berpakaian kebaya dan sarung batik yang diwarisi oleh nenek moyang mereka. manakala dari aspek kerohanian dan keagamaan mereka mempunyai banyak persamaan dengan keturunan Cina.
|
Canon 5D Mark II + Canon EF 50mm f/1.2L USM ~ 1/400sec ~ f/2.5 ~ ISO 100 |
Gambar ni pun diambil semasa majlis perasmian Kebudayaan Masyarakat Baba dan Nyonya. Kebanyakan aktiviti sebegini hanya dipopulari oleh golongan lama kerana golongan muda sekarang tidak ramai yang tahu
Makanan: Masyarakat ini amat masyhur dengan pelbagai masakan tradisional yang begitu sedap dan menarik di mana mempunyai persamaan dengan masakan masyarakat Melayu.
Kebanyakan mereka berpakaian kebaya, sarung dan sebagainya yang merupakan pakaian tradisional nenek moyang mereka. Mereka makan dengan tangan dan masakan gulai adalah menjadi kegemaran masyarakat ini. Masakan seperti masak lemak, asam pedas, dan sambal belacan menjadi kegermaran seharian.
|
Canon 5D Mark II + Canon EF 50mm f/1.2L USM ~ 1/400 sec ~ f/2.5 ~ ISO 100 |
Ini lah contoh gambar kuih tradisional masyarakat Baba dan Nyonya yang dibuat semasa majlis perasmian tu. Kuih ni kalau nak buat rumit. Kalau dulu orang guna bara api dari arang dan sabut untuk masak kuih ni, sekarang dah moden. Guna api dapur gas je
Pantang Larang: Masyarakat Baba dan Nyonya masih lagi percaya kepada pawang dan bomoh. Kebiasaannya mereka pergi berjumpa bomoh apabila seseorang bayi sentiasa menangis dengan tidak henti-henti. Mereka percaya bahawa anak mereka telah disampuk dengan jin ataupun hantu. Tujuan mereka pergi berjumpa dengan pawang tersebut untuk meminta tolong menghalau atau membuang jin atau hantu tersebut daripada mengganggu anak mereka.
Ibu yang hamil tidak boleh keluar rumah pada waktu senja. Pada waktu tersebut dikatakan syaitan, iblis, dan hantu mula berkeliaran. Mereka percaya bahawa darah ibu yang mengandung anak sulung sangat disukai oleh pontianak dan langsuir. Sekiranya terpaksa juga keluar, ibu tersebut dikehendaki membawa barangan yang diperbuat daripada besi, antaranya pisau untuk menakutkan hantu.
Selain itu juga, masyarakat Baba dan Nyonya juga percaya akan perubatan tradisional dalam perubatan penyakit. Contohnya dalam penyakit demam campak atau ‘Chicken Pox’,masyarakat Baba dan Nyonya akan berjumpa dengan bomoh untuk mendapatkan air penawar untuk diminum dan dijadikan air untuk mandi.
Muzik: Hasil penyelidikan telah menggambarkan masyarakat Baba dan Nyonya telah melatari kehidupan mereka dengan budaya Melayu terutamanya Dondang Sayang yang dilagukan dalam upacara-upacara yang tertentu sahaja dan ketika diperlukan. Bagi generasi kini, Muzik yang berunsurkan tradisional seperti pantun atau keroncong yang popular dalam kalangan masyarakat Baba dan Nyonya seketika dahulu kini telah berkurangan.
Kesimpulan: Masyarakat Baba dan Nyonya masih teguh mengamalkan cara hidup kemelayuan sehingga kini. Mereka sayang untuk meninggalkan budaya yang unik itu begitu sahaja. Mereka sanggup mempertahankan budaya masyarakat Baba dan Nyonya. Percampuran budaya dan adat antara masyarakat Cina dan masyarakat Melayu telah membuktikan akan keakraban dan perpaduan yang wujud dalam masyarakat tersebut, malah masih mengamalkan budaya Melayu dalam kehidupan bermasyarakat.
Canon 5D Mark II + Canon EF 50mm f/1.2L USM
1/4000 sec ~ f/1.2 ~ ISO 200